My Family Day

Wednesday, March 24, 2010

Guru Perlu Berubah!!

Sistem pengajaran dan pembelajaran di Malaysia dalam era globalisasi ini adalah amat berbeza jika dibandingkan dengan sistem yang digunapakai bagi beberapa dekad yang lampau. Dengan adanya perkembangan yang positif, pantas dan berilmu pengetahuan di dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sistem pendidikan negara telah sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kepesatan perkembangan ICT ini. Dewasa ini, ICT telah pun diterapkan ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran baik di peringkat universiti, kolej, sekolah menengah mahupun sekolah rendah secara berperingkat-peringkat.

Namun, ramai guru masih berpandangan bahawa pelajar-pelajar yang datang ke situasi pembelajaran sebagai bekas kosong yang perlu diisi penuh oleh guru dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Pelajar-pelajar dalam bilik darjah hanya menjadi pendengar yang pasif tanpa melakukan apa-apa aktiviti pembelajaran. Mereka hanya bertanggungjawab mengeluarkan semula pelbagai ilmu yang diajar semasa menjawab soalan-soalan ujian atau peperiksaan.

Pandangan-pandangan yang tersebut di atas sudah dianggap sebagai sesuatu yang sudah tidak sesuai lagi dalam amalan pembelajaran masa kini. Guru-guru perlu menukarkan paradigma mereka kepada pengajaran berpusatkan murid dan berpusatkan bahan. Murid-murid disediakan dengan aktivti-aktiviti pembelajaran yang boleh memperkembangkan daya intelek mereka disamping menggalakkan berfikir secara kritis dan kreatif. Guru-guru perlu menyediakan alat bantu mengajar yang sesuai dengan pelajaran yang diajar supaya suasana pembelajaran yang menarik, bermakna dan seronok dapat dihasilkan.

Cabaran-cabaran globalisasi menuntut agar negara membangunkan sumber tenaga yang mempunyai ciri-ciri K-worker, celik dan mahir dalam ICT, mampu bersaing pada peringkat tempatan dan peringkat global, bahkan memiliki jati diri dan daya saing yang tinggi. Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan pelbagai program pendidikan untuk melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan, celik IT, berkemahiran, dan berakhlak mulia. Bagi memenuhi kehendak ini, pembelajaran bukan lagi tertumpu dengan kaedah pengajaran di bilik darjah semata-mata. Penggunaan teknologi ICT perlu dieksploit sepenuhnya supaya memberikan kesan yang positif dalam pembelajaran pelajar.

Perkembangan dunia teknologi telah merubah sistem, kurikulum dan juga cara gaya pengajaran guru dan pembelajaran murid. Kita sekarang berada dalam zaman teknologi maklumat. Kita dihidangkan dengan pelbagai teknologi pendididkan daripada penggunaan OHP hinggalah kepada penggunaan perisian komputer.
Para guru di peringkat rendah mahupun di peringkat tinggi, haruslah cuba sedaya upaya untuk menggunakan ICT di dalam proses P&P bagi memberikan input yang terbaik kepada pelajar-pelajar kita.

Namun demikian, kesemua hanyalah merupakan alat-alat bantuan pengajaran dan pembelajaran; ianya tidak mungkin boleh menggantikan tempat dan peranan guru seratus peratus. Lantaran itu, guru masih memainkan peranan yang penting dalam pengajaran pembelajaran.

2 comments:

  1. Saya setuju dengan pendapat yang mengatakan penggunaan teknologi ICT hanyalah sebagai alat bahan bantu mengajar bukan sebagai pengganti guru, kerana tanpa guru siapalah kita.Namun sebagai pentadbir di sekolah kita perlu menggalakkan guru-guru di sekolah menggunakan teknologi ICT dalam P&P agar dapat melahirkan modal insan yang mampu bersaing pada peringkat tempatan dan peringkat global, bahkan memiliki jati diri dan daya saing yang tinggi.

    ReplyDelete
  2. Dengan adanya dorongan dan galakan pemimpin sekolah yang berkualiti dan berkomitmen, guru-guru yang masih ketinggalan akan berubah juga. Semoga cabaran ini dapat diatasi.

    ReplyDelete