My Family Day

Monday, March 29, 2010

APLIKASI KOMPUTER DALAM PENGAJARAN BAHASA: PENGUASAAN GURU DAN KEKANGAN DALAM PELAKSANAAN

1.0 Pengenalan

Dalam memperkatakan teknologi dalam pendidikan, Grove et al. (2004) menyatakan nilai teknologi di dalam bilik darjah telah menimbulkan isu dan perdebatan dalam kalangan ahli teknologi pendidikan. Teknologi telah dibuktikan dapat meningkatkan produktiviti, menambahkan motivasi, menyokong pengajaran secara tidak langsung, kebolehan pengajaran yang bersifat unik, dan meningkatkan literasi maklumat (Roblyer & Schwier, 2003). Justifikasi ini timbul didalam iklim kritikan berasaskan pelaburan yang besar dalam teknologi yang diraguikeberkesanannya (Cuban, 2001).


Terdapat beberapa isuyang sering dikaitkan dalam pengajaran menggunakan komputer. Stallard (1998) dalam kajiannya menyatakan bahawa keadaan yang menjadikan pengajaran tersebut tidak berkesan ialah kurangnya persediaan guru untuk membangunkan pengajaran yang berbantukan komputer.Di samping itu terdapat juga permasalahan dari segi hardware untuk perisian kursus, sikap guru,pentadbir, latihan, galakan keluarga dan pengaruh komuniti yang mempengaruhi keberkesananpelaksanaan dalam bilik darjah (Moersch, 1995).


Pengajaran Bahasa Malaysia (BM) tidak terkecuali daripada pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Walaupun pelajaran BM hanya melibatkan penguasaan kemahiran bahasa yang kelihatannya agak mudah untuk dikuasai, namun masih terdapat beberapa isu yangdianggap boleh mengganggu keberkesanan pengajaran . Masalah tersebut termasuklahpenguasaan kemahiran asas BM seperti lisan, membaca dan menulis. Pada tahap yang lebih tinggi, masih terdapat pelajar yang tidak dapat memahami teks yang dibaca dengan sempurna.Di samping itu, pada tahap sekolah menengah, penguasaan menulis juga masih lagi perlu diberiperhatian untuk memastikan objektif pengajaran BM tercapai.Oleh hal yang demikian, penggunaan komputer dalam pengajaran BM dilihat sebagai satu usaha yang sesuai untuk memberikan impak terhadap permasalahan yang dihadapi.
Sebagai alat bantu pengajaran yang terkini sifatnya, penggunaan komputer dilihat sebagai usaha yang mampu mengubah persepsi pelajar terhadap pembelajaran BM. Guru BM sebagai pengendali pengajaran, perlu mempunyai keterampilan dalam mengendalikan pengajaran bahasa berbantu komputer. Walaupun terdapat kesukaran dalam melaksanakannya, guru perlu bersedia dengan kemahiran dan pengetahuan selaras dengan keperluan pendidikan kini yang memerlukanpengajaran lebih berpusatkan pelajar.
2.0 Konsep Pengajaran Bahasa Berbantukan Komputer (PBBK)
Sebagai guru BM, mereka sepatutnya memahami konsep penggunaan komputer di dalam bilik darjah. Berdasarkan dapatan kajian, kebanyakan guru menyatakan bahawa konsep PBBK adalah pelajar mempelajari bahasa menggunakan komputer dengan kehadiran guru bersama-sama. Pada dasarnya, PBBK dilaksanakan dengan pelajar berinteraksi dengan bahan yang tersedia di dalam komputer. Pelajar akan menggunakan bahan tersebut dengan bantuan guru. Bahan bantu mengajar jenis elektronik dikaitkan dengan PBBK kerana keperluannya dalampengajaran tersebut. Selain penggunaan projektor LCD, penggunaan bahan bantu elektronikyang lain juga mampu meningkatkan minat dan pemahaman pelajar.
3.0 Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran BM
Berdasarkan dapatan kajian, tahap penggunaan komputer dalam pengajaran bagi guru adalah rendah dengan sebab mereka tidak selesa jika mengajarkan bahasa dengan menggunakan komputer. Dari segi perisian pengajaran pula, mereka tidak bersetuju jika dikatakan hanya menguasai penggunaan powerpoint dalam pengajaran. Manakala dari segi penggunaan internet, mereka mengakui bahawa mereka kurang mampu dan ini mengakibatkan mereka kurang menggunakan bahan tersebut di dalam pengajaran. Mungkin terdapat faktor lain yang menjadikan mereka kurang menggunakan internet dengan masalah pendedahan dan kemudahan yang disediakan di sekolah. Aspek minat amat mempengaruhi guru dalam pengajarannya.
4.0 Kesan Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran.
Kebanyakan guru setuju bahawa penggunaan komputer dalam pengajaran BM terhad kepada kemahiran membaca sahaja. Manakala mereka berpendapat penggunaankomputer dalam mengajarkan karangan tidak begitu sesuai. Dalam hal ini, untuk mendapatkan kesan yang baik, guru perlu kreatif dalam pengajaran berbantukan komputer. Dari segi kemahiran menggunakan perisian komputer yang berkaitan dengan pembelajaran,kebanyakan guru tidak menguasainya dengan baik. Contohnya dalam penguasaan authorware dan toolbook. Bagi kebanyakan guru, mereka hanya akan menggunakan komputer apabila diminta berbuat demikian.
5.0 Tahap Penguasaan Komputer
Berdasarkan kajian, semua sampel kajian telah mengikuti kursus berkaitan komputer yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran ataupun Pejabat PendidikanDaerah. Aplikasi komputer yang paling dikuasai oleh sampel kajian ialah Microsoft Word, Microsoft Excel dan Microsoft power point. Bagi kemahiran multimedia dan pembinaan laman web dianggap penguasaan yang lemah. Ini menggambarkan guru tidak menguasai aspek yang dianggap penting terutama yang berkaitan penyediaan bahan pengajaran yang memerlukan penggunaan elemen multimedia. Pembinaan laman web yang dianggap kurang memberi manfaat kepada pengajaran danpembelajaran juga perlu diberikan perhatian terutamanya bagi memastikan pelajar berfikiran lebih kreatif lagi.
6.0 Kesan Aplikasi Komputer Terhadap Pelajar
Dapatan kajian menunjukkan, penggunaan komputer dalam pengajaran dapat menambahkan minat pelajar terhadap BM. Walau bagaimanapun, guru berpendapat pelajar yang pandai lebih berminat dalam pengajaran apabila guru menggunakan komputer di dalam pengajarannya. Bagi pelajar yang lemah, mereka kurang menunjukkan minat dalam pembelajaran bahasa walaupun guru menggunakan komputer. Dapatan juga menunjukkan penguasaan menulis karangan kurang berkesan jika menggunakan komputer. Dalam hal ini, pembinaan dan penggunaan bahan pembelajaran perlu lebih menekankan aspek multimedia dan interaktif bagi memberikan kesan yang lebih kepada pelajar. Pelajar juga berminat jika menggunakan bahan internet di dalam pengajaran.
7.0 Kekangan Dalam Pelaksanaan Pembelajaran Bahasa Berbantukan Komputer
Dapatan menunjukkan terdapat beberapa kekangan yang dihadapi oleh guru dalam menggunakan komputer dalam pengajaran BM iatu:
  • Guru tidak mahir dalam mengendalikan pembelajaran berbantukan komputer disebabkan kurang latihan.
  • Kekangan masa dalam menyediakan bahan.
  • Pelajar kurang berminat menggunakan komputer dalam pengajaran BM.
  • Komputer di sekolah sering rosak dan ketinggalan dari segi kapasiti dan teknologi.
  • Kekangan dari segi sistem selenggaraan komputer yang tidak cekap di sekolah.
  • Guru BM yang tidak dapat menggunakan bilik komputerkerana sering digunakan oleh kumpulan pelajar lain.

8.0 Cadangan Untuk Mengatasi Masalah

Terdapat beberapa cadangan yang diberikan iaitu:

  • Mewujudkan jaringan kerjasama antara panitia atau sekolah dalamPPD
  • Sediakan peruntukan yang sesuai untuk menyediakan teknologi komputer terkini.
  • Wujudkan prasarana ICT yang sesuai untuk pembelajaran.
  • Perlu ada kumpulan pembinaan bahan yang mendapat dorongan daripada pentadbir.
  • Memberikan lebih dorongan kepada pelajar agar meminati komputer.
  • Semua guru BM perlu diberikan pendedahan aplikasi komputer.

9.0 Rumusan

Isu-isu yang dibincangkan di atas kebanyakannya berfokus kepada pentingnya pengajaranberbantukan komputer dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran BM. Antara rumusan daripada dapatan kajian yang diperoleh seperti huraian berikut:

  • Guru perlu menguasai konsep pengajaran bahasa berbantukan komputer agar pemahaman yang mantap terhadap konsep tersebut dapat memberi kesan kepada mutu pengajaran guru. Tiga komponen utama yang perlu ada di dalam pengajaran bahasa berbantukan komputer iaitukomputer, bahasa dan pembelajaran (Finkbeiner, 2001).
  • Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa ada dilakukan oleh guru BM. Namun,penggunaan yang tidak menyeluruh dari segi keperluan perlu diberikan perhatian. Contohnya,penggunaan komputer dalam kemahiran menulis sepatutnya diberikan perhatian kerana penggunaan komputer mampu membantu pelajar dalam menyusun organisasi teks serta dapat memudahkan penyuntingan dilakukan.
  • Untuk menjamin keberkesananpenggunaan dalam pengajaran, kursus yang dihadiri perlu dikaitkan dengan pembinaan bahan pembelajaran. Perisian yang sesuai boleh digunakan untuk tujuan tersebut. Ini bersesuaiandengan dapatan kajian oleh Jeong-Bae Son (2006) yang menunjukkan penggunaan komputerdalam pengajaran terutama yang melibatkan kursus dalam talian mampu menarik perhatianpelajar.
  • Kesan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran BM juga didapati positif . Antaranya ialah penggunaan komputer dapat memupuk minat yang mendalam terhadap penguasaan BM. Kajian yang dijalankan olehSaad Al Kahtani (1999) menunjukkan penggunaan komputer dalam pengajaran menulis karangan dapat memberi kesan terhadap pencapaian pelajar.
  • Perancangan dan persediaan pihak pentadbir sekolah dalam menyediakan guru-guru agar benar-benar menguasai kemahiran penggunaan komputer dalam pengajaran perlu dilakukan secara profesional untuk menangani kekangan yang dihadapi oleh guru.

Kesimpulannya, BM sedang mengalami zaman penuh cabaran terutama dari segi pandangan umum terhadap kepentingannya dalam pengajaran (A. Aziz Deraman, 2007). Walaupun demikian, aspek pengajaran perlu diberikan perhatian dengan menekankan penguasaan kemahiran bahasa yang diajarkan. Penggunaan komputer dalam pengajaran BM berupaya meningkatkan lagi keupayaan pelajar dalam menguasai BM dengan lebih baik. Oleh itu, aspek latihan dalam perkhidmatan, penyediaan bahan pembelajaran interaktif, menggalakkanpenggunaan internet dalam pengajaran serta penyediaan teknologi yang sesuai dengankeperluan semasa perlu diberikan perhatian.

4 comments:

  1. Saya amat bersetuju dengan pendapat penulis artikel ini.Dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, penggunaan teknologi komputer boleh membantu meningkatkan lagi keupayaan pelajar dalam penguasaan bahasa tersebut. Namun sebagai guru, perlulah ada persediaan untuk menjadikan P&P lebih berkesan dengan penggunaan teknologi tersebut.Peranan pentadbir sekolah juga amat penting dalam memberikan sokongan baik secara moral mahupun material seperti memberi peluang kepada guru-guru untuk mengikuti kursus dan juga bengkel yang berkaitan penggunaan teknologi terkini. Penyediaan bilik yang kodusif untuk aktiviti P&P turut membantu guru, tambahan dengan penggunaan teknologi terkini, tugas guru tentu lebih menarik dan berkesan.

    ReplyDelete
  2. Saya bersetujui dengan apa yang dihujahkan di atas terhadap Kekangan Dalam Pelaksanaan Pembelajaran Bahasa Berbantukan Komputer. Ini adalah kerana perkara-perkara tersebut sering berlaku di sekolah.

    Oleh itu untuk menjayakan penggunaan ICT dalam P&P masih memerlukan banyak usaha yang praktikal untuk merealisasikan matlamat ini. Seringkali cadangan telah dikemukakan dan diutarakan tetapi tindakan susulan tidak dilaksanakan seperti yang dirancangkan.

    ReplyDelete
  3. Memang bicara anda panjang lebar... Saya semua setuju...

    ReplyDelete
  4. Memang ideal dari apa yang dirangkakan .. tapi adakah kita semua mampu mengaplikasikannya dengan bebanan tugasan yang tiap hari tak pernah surut dan birokrasi yang sedia ada ? Apa pun kita berusaha yang termampu dan terbaik agar kita turut merentasi zaman ... jangan ketinggalan zaman .. orang malaysia dah ke angkasa lepas tau ... tak ada yang mustahil hanya nak dan tak nak aje ...

    ReplyDelete